Wednesday 25 April 2012

Guru contoh terbaik kepada masyarakat

Guru adalah profesion yang bertanggungjawab mendidik dan memimpin masyarakat. Tidak dinafikan, sehingga hari ini, guru banyak menyumbang khidmat bakti dalam pembangunan bangsa dan negara lebih-lebih lagi dalam membentuk sahsiah pelajar.
Proses pembentukan sahsiah pelajar, guru terlebih dulu perlu mempunyai sahsiah yang baik untuk dicontohi pelajar.
Dalam hal ini, Prof Mohd Kamal Hasan (1998) menjelaskan, “Contoh teladan pendidik inilah yang banyak membantu pembentukan akhlak pelajar. Mereka seharusnya terlebih dulu dilengkapi dengan ciri akhlak mulia, walaupun masyarakat kurang menghargai watak berbudi luhur.”
Dari satu sudut lain, Abdul Halim al-Muhammadi (1991) menjelaskan, guru adalah ejen kepada keberkesanan pendidikan. Walau sebaik manapun sistem pendidikan, maksud yang ingin disampaikan tidak akan mencapai matlamatnya jika ejen menyampaikan tidak efektif.
Kejayaan dan keberkesanan pendidikan berhubung rapat dengan kesedaran guru terhadap tanggungjawab, kelengkapan ilmu dan keluhuran peribadinya. Panduan antara kemahiran keilmuan dengan keluhuran peribadi adalah kriteria peribadi pendidik yang tidak boleh dipisahkan, sebaliknya boleh dijadikan contoh berkesan.
Oleh itu, dapatlah dikatakan guru adalah orang bertanggungjawab membentuk tamadun manusia di dunia menerusi penyebaran ilmu kepada masyarakat. Justeru, semua guru mesti menyedari tanggungjawab dan sentiasa menjaga nama baik sebagai pendidik dan pemimpin masyarakat yang menjalankan tugas serta tanggungjawab secara ikhlas dan jujur.
Sebagai usaha memastikan guru di negara ini dapat berperanan seperti diharapkan, kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia menggariskan empat strategi utama untuk memartabatkan profesion perguruan.
Pertama, memantapkan aspek pemilihan bakal guru dan latihan. Kedua, memantapkan karier keguruan. Ketiga, memperbaiki persekitaran kerja guru dan keempat, meningkatkan keyakinan dan rasa bangga guru terhadap profesion keguruan.
Dalam Islam, guru atau pendidik ialah murabbi, muallim, muaddib, mudarris alim atau ulama. Islam juga memberi penghormatan tinggi kepada guru. Mereka bukan saja berperanan memberi kesedaran kepada diri sendiri, malah masyarakat mengenai komitmen dan hubungan dengan hukum Allah.
Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya yang takut kepada Allah antara hambanya ialah ahli ilmu.” (Surah Faatir ,ayat 28)
Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Katakanlah, adakah sama orang berilmu dengan orang yang tidak berilmu.” (Surah al-Zumar, ayat 9)
Selain itu, dalam ayat lain Allah berfirman bermaksud: “Wahai orang beriman, apabila dikatakan kepada kamu berikanlah sedikit ruang dalam majlis, maka berikanlah ruang, nescaya Allah memperluaskan ruang untuk kamu. Allah mengangkat darjat orang yang dikurniakan ilmu kepada mereka dan (ingatlah) Allah itu Maha Mengetahui terhadap apa saja yang kamu kerjakan.” (Surah al-Mujadalah, ayat 11)
Ayat di atas jelas membuktikan Islam memberi penghormatan tinggi kepada ahli ilmu. Oleh itu, dengan ilmu yang ada pada guru atau pendidik, mereka wajib menyampaikannya kepada orang memerlukan.
Menerusi ilmu inilah dapat menimbulkan kesedaran manusia terhadap Allah dan dapat membezakan antara kebenaran dan kebatilan, sekali gus melahirkan bangsa yang maju dalam segala aspek.
Semua guru atau pendidik perlu faham bahawa tugas menyampaikan ilmu adalah satu amanah daripada Allah. Ia beban dan tanggungjawab cukup berat dalam membina peradaban manusia. Oleh itu, guru mestilah menjalankan tugas dengan hati-hati, ikhlas, jujur dan beramanah.
Sesungguhnya, amanah menyampaikan ilmu tanggungjawab yang akan dipersoalkan pada hari akhirat kelak. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Kamu semua pemimpin dan kamu semua dipertanggungjawabkan mengenai orang di bawah pimpinannya.”
Berdasarkan hadis itu, kedudukan profesion keguruan dalam agama cukup jelas. Segala ilmu disampaikan guru kepada pelajar dan kesan daripada penyampaian itu akan dipertanggungjawabkan pada hari akhirat kelak. Jika ilmu disampaikan guru membawa kesan positif kepada pelajar, maka ganjaran kebaikan akan diterima dan begitulah sebaliknya.
Atas dasar tanggungjawab dan amanah ini, guru tetap melaksanakan kewajipan mendidik anak bangsa walaupun mereka terpaksa menempuhi cabaran demi cabaran yang datang bersilih ganti.
Tanpa pengorbanan mereka, mungkin kita tidak berada pada kedudukan serba mewah dan senang. Justeru, guru perlu diberikan penghormatan tinggi biarlah selari dengan penghormatan diberikan Islam.
Bagi guru atau pendidik, mereka tidak pernah mengharapkan hadiah bertimbun setiap kali tibanya sambutan hari guru dan sama sekali tidak mengharapkan pujian daripada mana-mana pihak. Cuma diharapkan guru ialah anak didik mereka menjadi insan berilmu dan berguna, seterusnya dapat memenuhi keperluan tenaga kerja negara.
Sebenarnya semua guru mengerti bahawa usaha mendidik dan membangunkan seseorang insan itu bukan mudah. Walaupun begitu, semangat mereka tidak pernah luntur. Mereka tetap berusaha menyusun langkah dan mengatur strategi meneruskan perjuangan dan memikul amanah Allah sebagai pendidik anak bangsa.
Di samping itu, mereka mengharapkan sokongan dan kerjasama daripada ibu bapa dan masyarakat. Justeru, ibu bapa dan masyarakat perlu sedar mereka juga bertanggungjawab mendidik dan membangunkan manusia.
Tanggungjawab dan peranan guru tidak dapat dipertikaikan, biarpun kadangkala mereka dipersalahkan apabila berlaku kes keruntuhan akhlak di kalangan remaja.
Demikian antara peranan guru pada ketika ini. Mereka bukan saja menjadi ‘qudwah hasanah’ (contoh terbaik) kepada masyarakat, bahkan peranan mereka lebih terbukti apabila negara hari ini berjaya melahirkan sumber tenaga manusia dalam pelbagai bidang.
Kesimpulannya, guru adalah insan bertanggungjawab mendidik dan membentuk sahsiah pelajar. Walaupun tugas itu tidak mudah, namun mereka menyahut cabaran dan rintangan dengan tabah.

No comments:

Post a Comment