Thursday 26 April 2012


Sanggup Berkorban Untuk Negara
Definisi :
Kerelaaan melakukan sesuatu atau menyerahkan sesuatu termasuk nyawa sebagai tanda kebaktian untuk negara.

Kata Kunci :
- Rela berkorban untuk negara

Contoh :
- Datuk Izhar Mansoor telah berjaya belayar solo mengelilingi dunia bersama Jalur Gemilang.
- Roger menyertai aktiviti rukun tetangga di kawasan kediamannya untuk membanteras kegiatan jenayah yang dilakukan oleh sekumpulan pendatang tanpa izin.
- Kamaruddin menyertai Pasukan Kadet Tentera di peringkat sekolah kerana dia bercita-cita menjadi tentera dan berkhidmat untuk negara.
- Siok Lan berpendapat mengambil bahagian dalam " Hari Bendera " anjuran Persatuan Bulan Sabit Merah ( PBSM ) sebagai membuang masa sahaja.
- Keluarga Sidek telah mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa dalam arena badminton.


Menghormati Hak Kanak-Kanak

Definisi :
Membela, memberi naungan dan memelihara hak kanak-kanak bagi menjamin kehidupan yang sempurna.

Kata Kunci :
Hak kanak-kanak hendaklah dibela dan dipelihara.

Contoh :
- Encik Ramasamy telah memberikan pendidikan persekolahan kepada semua anaknya tanpa mengira jantina.
- Yee Lian telah melaporkan kejadian penderaan kanak-kanak yang telah berlaku di sebelah rumahnya.
- Kerajaan Malaysia telah mendrafkan undang-undang dan akta yang melindungi kanak-kanak daripada penderaan dan penganiayaan.
- Sekolah Rendah Pasir Gudang telah mengambil bahagian dalam Sambutan Hari Kanak-Kanak di peringkat daerah Johor Bahru.
- Ah Seng memberikan makanan dan pakaian yang sempurna kepada anak-anaknya.


Menghormati Hak Wanita

Definisi :
Melindungi dan mengiktiraf wanita sebagai individu yang boleh memberikan sumbangan dalam pembangunan keluarga, masyarakat dan negara.

Kata Kunci :
Melindungi dan mengiktiraf hak wanita

Contoh :
- Puan Haslinda menjawat jawatan pengetua di sebuah sekolah yang ramai guru lelaki atas kriteria kebolehannya.
- Penggubalan akta dan dasar yang melindungi hak wanita oleh pihak kerajaan untuk melindungi wanita di Malaysia.
- Pihak sekolah tidak meminggirkan pelajar perempuan, sebaliknya memberikan pendidikan yang sempurna kepada mereka.
- Ah Long sangat menyayangi isterinya dan dia amat menghormati keputusan isterinya.
- Pihak media tidak mengeksploitasikan kedudukan wanita untuk menarik pelanggan semata-mata untuk keuntungan masyarakat.


Melindungi Hak Pekerja

Definisi :
Menghormati, menghargai dan mengiktiraf perkhidmatan, jasa dan sumbangan golongan pekerja dalam pembangunan negara.

Kata Kunci :
Menghargai, menghormati dan mengiktiraf golongan pekerja

Contoh :
- Syarikat Wyeth memberikan bonus kepada pekerja setelah mendapat keuntungan yang banyak.
- Kilang Adventure menyediakan kemudahan bas percuma kepada pekerjanya untuk memudahkan mereka berulang-alik ke kilang.
- Sulaiman telah diberikan peluang untuk naik pangkat dan kenaikan gaji kerana sumbangannya kepada syarikat.
- Tuan Zainuddin menjaga keselamatan pekerjanya dengan memastikan mereka memakai sarung tangan ketika mengoperasi mesin-mesin di kilang.
- Syarikat Sunshine menginsuranskan semua pekerjanya dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial.

Menghormati Hak Orang Kurang Upaya

Definisi :
Memberi layanan yang bersopan kepada golongan kurang berupaya supaya tidak berasa tersisih dan mengiktiraf mereka sebagai insan ciptaan Tuhan.

Kata Kunci :
- Layanan yang bersopan
- Pengiktirafan golongan kurang berupaya

Contoh :
- Ramsey membantu seorang pemuda yang cacat penglihatan melintas jalan.
- Pertubuhan orang-orang cacat telah mengadakan satu pertunjukan silap mata untuk menghiburkan orang-orang cacat.
- Pihak sekolah memberikan perkhidmatan pengajaran huruf " Braille " kepada pelajar-pelajar yang cacat penglihatan.
- Sekolah khas untuk pelajar yang cacat penglihatan telah didirikan di Pulau Pinang.
- Pihak universiti tempatan telah mengambil beberapa kakitangan yang kurang berupaya.


Melindungi Hak Pengguna.
Definisi :
Membela dan memelihara hak individu untuk menjadi pengguna yang berilmu, mendapat perkhidmatan dan barangan yang berkualiti, dan tidak mudah dieksploitasi.

Kata Kunci :
Pengguna dibela dan dipelihara agar berilmu dan dijamin perkhidmatan berkualiti.

Contoh :
- Pengeluar mengeluarkan barang mengikut piawaian kualiti SIRIM.
- Kilang memberikan maklumat yang betul dan tepat kepada pengguna dengan percetakan label di atas bungkusan barangannya.
- Pihak sekolah memberikan pendidikan kepenggunaan kepada para pelajarnya supaya faham dengan ilmu pengguna yang bijak.
- Majlis Pengguna menguji dan menilai amalan perniagaan dan memberi cadangan untuk menyelesaikan masalah pengguna.
- Kerajaan Malaysia telah menetapkan Akta Pengguna supaya para pengguna yang tertipu boleh membuat aduan mahkamah kepada para pengedar yang tidak bertanggungjawab.

Penjenamaan Semula Kurikulum dan Tuntutan
Prof. Dr. Awang Sariyan
(Penyandang Kursi Pengajian Melayu, Malaysia-China)

SEBAGAI susulan keputusan kerajaan, khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia, memansuhkan PPSMI atau Program Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris bermula pada tahun 2012, telah dimasyhurkan proram MBMMBI, iaitu Program Memartabatkan Bahasa Melayu dan Meningkatkan Bahasa Inggeris.

          Sebagai persiapan untuk menghadapi tahun 2012, telah direncanakan pengubahsuaian kurikulum yang hasilnya dikenal sebagai KSSR atau Kurikulum Standard Sekolah Rendah. Ada orang yang mempersoalkan nama kurikulum itu kerana sebelumnya telah ada Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan untuk peringkat sekolah menengah ada Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM).

          Dalam hubungannya dengan sikap menghargai dan menghormati keputusan berani dan rasional kerajaan dalam hal pemansuhan PPSMI, di tengah-tengah gelombang kontroversi yang bersejarah, termasuk berulangnya perarakan ala Keranda 152 pada tahun 1960-an, pada hemat saya tidak perlulah isu nama dipolemikkan.

          Saya lebih menilainya sebagai usaha penjenamaan semula kurikulum sistem pendidikan di negara kita yang mendukung hasrat untuk menghasilkan suatu bentuk transformasi budaya dan sosial. Dapat difahami bahawa apabila sesuatu proses transformasi atau reformasi akan dimulakan, salah satu langkah yang lazim dilakukan ialah mengetengahkan slogan yang diperkirakan dapat menggambarkan bentuk transformasi atau reformasi itu. Maka bagi saya, nama Kurikulum Standard Sekolah Rendah itu tidaklah lain daripada penjenamaan semula Kurikulum Bersepadu sekolah Rendah, dengan pengubahsuaian dan peningkatan aspek-aspek tertentu.

          Dengan bersangka baik terhadap pengenalan kurikulum baru itu, tidaklah pula kita patut berpeluk tubuh tanpa berusaha menyemak kandungannya dan bagaimana pelaksanaannya berlangsung di sekolah. Kita patut memantau bahawa gagasan untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai salah satu aspek KSSR itu benar-benar dilaksanakan dengan ikhlas dan sungguh-sungguh pada semua peringkat, baik pada penyediaan bahan ajar, proses pengajaran dan pemelajaran (P&P) dan pengujiannya.

          Penjenamaan semula kurikulum sekolah hendaklah disusuli dengan pengisian yang jelas dan terancang serta bersepadu sifatnya. Kita mengharapkan bahawa ciri kesepaduan kurikulum tidak diabaikan kerana matlamat pendidikan ialah untuk melahirkan insan yang cemerlang dalam semua aspek kehidupan. Selain cemerlang dalam bidang akademik, pelajar dituntut agar cemerlang dalam bidang akhlak, pemikiran, emosi, kreativiti dan sikapnya. Kesemua unsur itu menjadi inti pati sahsiah insan yang cemerlang.

          Pemansuhan Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah  dan pengubahsuaian Ujian Penilaian Sekolah Rendah yang akan lebih berdasarkan penilaian menurut sekolah diharapkan benar-benar berasaskan dorongan untuk membentuk sahsiah pelajar yang lebih bersepadu dan tidak lebih cenderung pada kecemerlangan dalam peperiksaan formal semata-mata. Kesempatan perlu diambil oleh pendidik dan pentadbiran sekolah agar kurikulum yang bersepadu diterjemahkan dengan tepat dalam proses pengajaran dan pemelajaran di bilik darjah.

          Khusus tentang aspek bahasa pula, kesempatan pelaksanaan KSSR (dan kemudian KSSM pastinya) perlu diambil untuk membudayakan bahasa Melayu dalam kalangan murid dengan sebaik-baik dan seluas-luasnya. Pembudayaan bahasa mestilah dijuruskan kepada dua strategi penting. Yang pertama ialah pembudayaan bahasa Melayu untuk mengisi tarafnya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Yang kedua pula ialah pembudayaannya daripada segi peningkatan mutunya.

          Pembudayaan bahasa Melayu daripada segi tarafnya perlu menjadi asas kesedaran pentadbir dan pendidik di sekolah untuk merancang dan menetapkan peluasan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan dalam kalangan murid sesama murid dan antara murid dengan guru serta warga sekolah yang lain. Tidak sewajarnya timbul isu adanya sekolah yang mengedarkan surat kepada ibu bapa, contohnya, yang menggunakan bahasa asing kerana bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.

          Segala kegiatan di sekolah seharusnya dapat dinilai penggunaan bahasa perantaraannya, agar tidak mengurangkan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi meskipun dalam keadaan tertentu memang ada keperluan menggunakan bahasa lain. Pastilah pembudayaan taraf bahasa Melayu dalam sekitaran sekolah memerlukan iltizam seluruh warga sekolah itu sendiri, terutama pihak pentadbiran sekolah.

          Cabaran yang lebih mendasar ialah pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, agar semua guru, tidak kira mata pelajaran apa yang diajarkannya, benar-benar dapat membudayakan bahasa yang memenuhi ciri laras bahasa ilmu, walaupun yang saya maksudkan bukan bahasa ilmiah seperti di pusat pengajian tinggi. Gagasan bahasa Melayu merentas kurikulum (BMMK) sewajarnya ditegaskan semula pelaksanaannya agar penguasaan bahasa Melayu, terutama sebagai bahasa ilmu, tidak diperoleh oleh murid hanya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, tetapi dalam semua mata pelajaran.

          Dalam hal pembudayaan mutu bahasa Melayu pula, KSSR hendaklah direncanakan pengisiannya agar dapat menjadi bahasa yang tidak simpang-perenang penggunaannya dalam kalangan murid. Selain aspek mekanik bahasa yang meliputi tatabahasa, sistem ejaan dan sebutan, peningkatan pembudayaan dalam penggunaan bahasa yang memanfaatkan aspek dinamik bahasa amat perlu ditekankan. Penguasaan bahasa kiasan dan gaya bahasa yang beragam hendaklah dipentingkan supaya dari awal lagi murid lazim menggunakan bahasa yang ada nilai estetik dan retoriknya.

          Sementara itu, program meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris yang dikatakan menjadi punca kerjaaan pada tahun 2002 memutuskan pelaksanaan PPSMI hendaklah benar-benar diberi pengisian yang terancang. Dengan demikian, diharapkan tidak timbul keluhan atau kekecewaan mana-mana pihak dalam hal penguasaan bahasa Inggeris lepasan sekolah.

          Kita amat berharap bahawa KSSR (dan kemudian KSSM) dapat menjadi wadah yang menangkis keperluan mana-mana pihak menyarankan pengajaran subjek-subjek sains dan matematik dalam bahasa Inggeris dengan alasan untuk meningkatkan penguasaan bahasa tersebut. Kurikulum yang dijenamakan semula itu mestilah dapat membuktikan bahawa dengan sukatan pelajaran, bahan ajar, proses pengajaran dan pemelajaran serta sistem pengujian yang tepat, bahasa tersebut dapat dikuasai dengan baik tanpa menjejaskan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang sejak semula berteraskan bahasa Melayu.  


Menyampaikan Maklumat Kebahasaan Melalui Ziarah Bahasa

DALAM usaha menyebarkan bahasa kepada khalayak, konsep “turun padang”  turut diamalkan, iaitu mendekatkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kepada pelbagai lapisan masyarakat, menghantar maklumat kepada mereka dan memudahkan khalayak daripada datang mendapatkan maklumat di DBP.

Program Ziarah Bahasa yang diadakan sempena Bulan Bahasa dan Kebangsaan (BBK) pada setiap bulan Oktober mengamalkan konsep ini, iaitu dengan berkunjung ke premis-premis perniagaan yang ditentukan bagi mendapatkan maklumat tentang penggunaan bahasa kebangsaan sama ada secara lisan mahupun tulisan di premis mereka.  Bagi BBK Peringkat Wilayah Persekutuan 2011, lokasi Ziarah Bahasa yang dipilih ialah Pusat Beli-Belah MidValley di Bangsar, Kuala Lumpur.

Lokasinya di tengah-tengah ibu kota yang pesat membangun dengan pelbagai premis francais dari luar negara yang menjalankan urus niaga di situ agak mencabar pegawai DBP yang ingin mendapatkan maklumat tentang penggunaan bahasa kebangsaan, ditambah pula ada premis yang menggaji pekerja berbangsa asing. 

Program Ziarah Bahasa  diadakan bertujuan menimbulkan kesedaran dalam kalangan pemilik atau petugas di premis perniagaan tentang peri penting meningkatkan penguasaan dan penggunaan bahasa kebangsaan semasa berurusan dengan pelanggan.  Selain mendapatkan maklumat tentang sejauh mana penggunaan bahasa kebangsaan dilaksanakan sama ada secara lisan atau tulisan, seperti pada risalah, panduan pengguna, borang, iklan dan sebagainya, DBP ingin memastikan penggunaan bahasa kebangsaan yang tepat dan indah di premis perniagaan seperti pada papan tanda, papan iklan dan sebagainya dilakukan dengan sewajarnya.

Bermula pada tahun 1996, Program Ziarah Bahasa dilaksanakan melalui program Gerakan Bahasa Kebangsaaan Sektor Swasta (GBKSS) yang dilancarkan pada 19 Ogos 1996. Pada peringkat awal, kunjungan ke kementerian/jabatan/institusi kerajaan dilakukan untuk menjalin kerjasama kebahasaan dan memperkenalkan khidmat bahasa yang diberikan oleh DBP. Kini, pendekatan dan kaedah tersebut diubah dan disesuaikan dengan mengadakan kerjasama dengan pihak kementerian/jabatan/institusi  ataupun Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan agar mencadangkan/mencalonkan lokasi yang perlu dilakukan Ziarah Bahasa. Dapatan hasil ziarah tersebut disediakan dalam bentuk laporan untuk rujkan dan tindakan kedua-dua belah pihak yang bekerjasama.

Hasil Program Ziarah Bahasa Peringkat Wilayah Persekutuan  Kuala Lumpur 2011 yang diadakan dari 11-13 Oktober mendapati kebanyakan premis perniagaan di pusat beli-belah itu menggunakan bahasa Melayu dalam urusan perniagaan mereka tetapi bergantung pada pelanggan sama ada pelanggan tempatan atau asing. Menurut mereka, jika pelanggan tempatan, mereka menggunakan bahasa Melayu tetapi bagi pelanggan asing, sudah tentu bahasa Inggeris digunakan. Walau bagaimanapun, tidak dinafikan ada juga pemilik atau pekerja premis yang lebih cenderung menggunakan bahasa Inggeris, terutama pada iklan dan risalah yang mereka papar dan edarkan.
Peranan DBP selain memantau bahasa yang digunakan, juga menyebarluaskan maklumat berkenaan program bahasa yang disediakan oleh DBP. Selain mengedarkan lembar dan pedoman bahasa, maklumat tentang Khidmat Nasihat DBP dan Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) diterangkan, termasuk cara menggunakannya pada laman web DBP.
Dari semasa ke semasa, Program Ziarah Bahasa yang merupakan acara tahunan diharap akan dapat memberikan impak dan manfaat kepada pengguna bahasa yang terdiri daripada pelbagai kaum di samping meningkatkan usaha mengembangkan dan memperkasa bahasa kebangsaan di premis-premis perniagaan, terutama di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur.

Bahasa Melayu Memang Ada Nilai Ekonomi

Kuala Lumpur , 22 Nov. -  Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, Menteri di Jabatan Perdana Menteri  menolak tanggapan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa bahasa Melayu tidak mempunyai nilai ekonomi.
“Tahun 2015, ASEAN akan mempunyai pasaran  terbuka. Ini bermakna bahawa produk dan perkhidmatan akan mempunyai pasaran yang lebih luas. Dengan lebih 300 juta penutur bahasa Melayu di rantau ini, bermakna peluang untuk bahasa Melayu digunakan oleh pasaran ASEAN juga akan lebih meluas,” tegas beliau ketika merasmikan Seminar Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Sektor  Swasta di DBP.
Beliau juga berkata, usaha yang berterusan dalam konteks ASEAN perlu dilakukan untuk membolehkan bahasa Melayu menjadi bahasa yang digunakan dalam urusan perdagangan dan pasaran.
“Yang perlu dan yang lebih penting dilakukan sekarang ialah usaha meyakinkan orang menggunakan bahasa Melayu, berbanding memaksa mereka menggunakannya,” tambah beliau lagi.