Menyampaikan Maklumat Kebahasaan Melalui Ziarah Bahasa
DALAM
usaha menyebarkan bahasa kepada khalayak, konsep “turun padang” turut diamalkan, iaitu mendekatkan Dewan
Bahasa dan Pustaka (DBP) kepada pelbagai lapisan masyarakat, menghantar
maklumat kepada mereka dan memudahkan khalayak daripada datang mendapatkan
maklumat di DBP.
Program
Ziarah Bahasa yang diadakan sempena Bulan Bahasa dan Kebangsaan (BBK) pada
setiap bulan Oktober mengamalkan konsep ini, iaitu dengan berkunjung ke
premis-premis perniagaan yang ditentukan bagi mendapatkan maklumat tentang
penggunaan bahasa kebangsaan sama ada secara lisan mahupun tulisan di premis
mereka. Bagi BBK Peringkat Wilayah
Persekutuan 2011, lokasi Ziarah Bahasa yang dipilih ialah Pusat Beli-Belah
MidValley di Bangsar, Kuala Lumpur.
Lokasinya
di tengah-tengah ibu kota yang pesat membangun dengan pelbagai premis francais
dari luar negara yang menjalankan urus niaga di situ agak mencabar pegawai DBP
yang ingin mendapatkan maklumat tentang penggunaan bahasa kebangsaan, ditambah
pula ada premis yang menggaji pekerja berbangsa asing.
Program
Ziarah Bahasa diadakan bertujuan
menimbulkan kesedaran dalam kalangan pemilik atau petugas di premis perniagaan
tentang peri penting meningkatkan penguasaan dan penggunaan bahasa kebangsaan
semasa berurusan dengan pelanggan.
Selain mendapatkan maklumat tentang sejauh mana penggunaan bahasa
kebangsaan dilaksanakan sama ada secara lisan atau tulisan, seperti pada
risalah, panduan pengguna, borang, iklan dan sebagainya, DBP ingin memastikan
penggunaan bahasa kebangsaan yang tepat dan indah di premis perniagaan seperti
pada papan tanda, papan iklan dan sebagainya dilakukan dengan sewajarnya.
Bermula
pada tahun 1996, Program Ziarah Bahasa dilaksanakan melalui program Gerakan
Bahasa Kebangsaaan Sektor Swasta (GBKSS) yang dilancarkan pada 19 Ogos 1996. Pada
peringkat awal, kunjungan ke kementerian/jabatan/institusi kerajaan dilakukan
untuk menjalin kerjasama kebahasaan dan memperkenalkan khidmat bahasa yang
diberikan oleh DBP. Kini, pendekatan dan kaedah tersebut diubah dan disesuaikan
dengan mengadakan kerjasama dengan pihak kementerian/jabatan/institusi ataupun Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)
berkenaan agar mencadangkan/mencalonkan lokasi yang perlu dilakukan Ziarah
Bahasa. Dapatan hasil ziarah tersebut disediakan dalam bentuk laporan untuk
rujkan dan tindakan kedua-dua belah pihak yang bekerjasama.
Hasil Program Ziarah Bahasa Peringkat Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur 2011 yang diadakan dari 11-13
Oktober mendapati kebanyakan premis perniagaan di pusat beli-belah itu
menggunakan bahasa Melayu dalam urusan perniagaan mereka tetapi bergantung pada
pelanggan sama ada pelanggan tempatan atau asing. Menurut mereka, jika
pelanggan tempatan, mereka menggunakan bahasa Melayu tetapi bagi pelanggan
asing, sudah tentu bahasa Inggeris digunakan. Walau bagaimanapun, tidak
dinafikan ada juga pemilik atau pekerja premis yang lebih cenderung menggunakan
bahasa Inggeris, terutama pada iklan dan risalah yang mereka papar dan edarkan.
Peranan DBP selain memantau bahasa yang
digunakan, juga menyebarluaskan maklumat berkenaan program bahasa yang
disediakan oleh DBP. Selain mengedarkan lembar dan pedoman bahasa, maklumat
tentang Khidmat Nasihat DBP dan Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM)
diterangkan, termasuk cara menggunakannya pada laman web DBP.
Dari semasa ke semasa, Program Ziarah
Bahasa yang merupakan acara tahunan diharap akan dapat memberikan impak
dan manfaat kepada pengguna bahasa yang terdiri daripada pelbagai kaum di
samping meningkatkan usaha mengembangkan dan memperkasa bahasa kebangsaan di
premis-premis perniagaan, terutama di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment