Guru contoh terbaik kepada masyarakat
Guru adalah profesion yang bertanggungjawab mendidik dan memimpin
masyarakat. Tidak dinafikan, sehingga hari ini, guru banyak menyumbang khidmat
bakti dalam pembangunan bangsa dan negara lebih-lebih lagi dalam membentuk
sahsiah pelajar.
Proses pembentukan sahsiah pelajar, guru terlebih dulu perlu mempunyai
sahsiah yang baik untuk dicontohi pelajar.
Dalam hal ini, Prof Mohd Kamal Hasan (1998) menjelaskan, “
Contoh teladan
pendidik inilah yang banyak membantu pembentukan akhlak pelajar. Mereka
seharusnya terlebih dulu dilengkapi dengan ciri akhlak mulia, walaupun
masyarakat kurang menghargai watak berbudi luhur.”
Dari satu sudut lain, Abdul Halim al-Muhammadi (1991) menjelaskan, guru
adalah ejen kepada keberkesanan pendidikan. Walau sebaik manapun sistem
pendidikan, maksud yang ingin disampaikan tidak akan mencapai matlamatnya jika
ejen menyampaikan tidak efektif.
Kejayaan dan keberkesanan pendidikan berhubung rapat dengan kesedaran guru
terhadap tanggungjawab, kelengkapan ilmu dan keluhuran peribadinya. Panduan
antara kemahiran keilmuan dengan keluhuran peribadi adalah kriteria peribadi
pendidik yang tidak boleh dipisahkan, sebaliknya boleh dijadikan contoh
berkesan.
Oleh itu, dapatlah dikatakan guru adalah orang bertanggungjawab membentuk
tamadun manusia di dunia menerusi penyebaran ilmu kepada masyarakat. Justeru,
semua guru mesti menyedari tanggungjawab dan sentiasa menjaga nama baik sebagai
pendidik dan pemimpin masyarakat yang menjalankan tugas serta tanggungjawab
secara ikhlas dan jujur.
Sebagai usaha memastikan guru di negara ini dapat berperanan seperti
diharapkan, kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia menggariskan
empat strategi utama untuk memartabatkan profesion perguruan.
Pertama, memantapkan aspek pemilihan bakal guru dan latihan. Kedua,
memantapkan karier keguruan. Ketiga, memperbaiki persekitaran kerja guru dan
keempat, meningkatkan keyakinan dan rasa bangga guru terhadap profesion
keguruan.
Dalam Islam, guru atau pendidik ialah murabbi, muallim, muaddib, mudarris
alim atau ulama. Islam juga memberi penghormatan tinggi kepada guru. Mereka
bukan saja berperanan memberi kesedaran kepada diri sendiri, malah masyarakat
mengenai komitmen dan hubungan dengan hukum Allah.
Allah berfirman yang bermaksud: “
Sesungguhnya yang takut kepada Allah
antara hambanya ialah ahli ilmu.” (Surah Faatir ,ayat 28)
Firman-Nya lagi yang bermaksud: “
Katakanlah, adakah sama orang berilmu
dengan orang yang tidak berilmu.” (Surah al-Zumar, ayat 9)
Selain itu, dalam ayat lain Allah berfirman bermaksud: “
Wahai orang
beriman, apabila dikatakan kepada kamu berikanlah sedikit ruang dalam majlis,
maka berikanlah ruang, nescaya Allah memperluaskan ruang untuk kamu. Allah
mengangkat darjat orang yang dikurniakan ilmu kepada mereka dan (ingatlah)
Allah itu Maha Mengetahui terhadap apa saja yang kamu kerjakan.” (Surah
al-Mujadalah, ayat 11)
Ayat di atas jelas membuktikan Islam memberi penghormatan tinggi kepada ahli
ilmu. Oleh itu, dengan ilmu yang ada pada guru atau pendidik, mereka wajib
menyampaikannya kepada orang memerlukan.
Menerusi ilmu inilah dapat menimbulkan kesedaran manusia terhadap Allah dan
dapat membezakan antara kebenaran dan kebatilan, sekali gus melahirkan bangsa
yang maju dalam segala aspek.
Semua guru atau pendidik perlu faham bahawa tugas menyampaikan ilmu adalah
satu amanah daripada Allah. Ia beban dan tanggungjawab cukup berat dalam
membina peradaban manusia. Oleh itu, guru mestilah menjalankan tugas dengan
hati-hati, ikhlas, jujur dan beramanah.
Sesungguhnya, amanah menyampaikan ilmu tanggungjawab yang akan dipersoalkan
pada hari akhirat kelak. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “
Kamu semua
pemimpin dan kamu semua dipertanggungjawabkan mengenai orang di bawah
pimpinannya.”
Berdasarkan hadis itu, kedudukan profesion keguruan dalam agama cukup jelas.
Segala ilmu disampaikan guru kepada pelajar dan kesan daripada penyampaian itu
akan dipertanggungjawabkan pada hari akhirat kelak. Jika ilmu disampaikan guru
membawa kesan positif kepada pelajar, maka ganjaran kebaikan akan diterima dan
begitulah sebaliknya.
Atas dasar tanggungjawab dan amanah ini, guru tetap melaksanakan kewajipan
mendidik anak bangsa walaupun mereka terpaksa menempuhi cabaran demi cabaran
yang datang bersilih ganti.
Tanpa pengorbanan mereka, mungkin kita tidak berada pada kedudukan serba
mewah dan senang. Justeru, guru perlu diberikan penghormatan tinggi biarlah
selari dengan penghormatan diberikan Islam.
Bagi guru atau pendidik, mereka tidak pernah mengharapkan hadiah bertimbun
setiap kali tibanya sambutan hari guru dan sama sekali tidak mengharapkan
pujian daripada mana-mana pihak. Cuma diharapkan guru ialah anak didik mereka
menjadi insan berilmu dan berguna, seterusnya dapat memenuhi keperluan tenaga
kerja negara.
Sebenarnya semua guru mengerti bahawa usaha mendidik dan membangunkan
seseorang insan itu bukan mudah. Walaupun begitu, semangat mereka tidak pernah
luntur. Mereka tetap berusaha menyusun langkah dan mengatur strategi meneruskan
perjuangan dan memikul amanah Allah sebagai pendidik anak bangsa.
Di samping itu, mereka mengharapkan sokongan dan kerjasama daripada ibu bapa
dan masyarakat. Justeru, ibu bapa dan masyarakat perlu sedar mereka juga
bertanggungjawab mendidik dan membangunkan manusia.
Tanggungjawab dan peranan guru tidak dapat dipertikaikan, biarpun kadangkala
mereka dipersalahkan apabila berlaku kes keruntuhan akhlak di kalangan remaja.
Demikian antara peranan guru pada ketika ini. Mereka bukan saja menjadi
‘qudwah hasanah’ (contoh terbaik) kepada masyarakat, bahkan peranan mereka
lebih terbukti apabila negara hari ini berjaya melahirkan sumber tenaga manusia
dalam pelbagai bidang.
Kesimpulannya, guru adalah insan bertanggungjawab mendidik dan membentuk
sahsiah pelajar. Walaupun tugas itu tidak mudah, namun mereka menyahut cabaran
dan rintangan dengan tabah.