Wednesday 25 April 2012

Penggunaan Bahasa Kebangsaan Sektor Kewangan

YAB Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin Haji Mohd. Yassin dalam ucaptama Simposium Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Sektor Kewangan dan Insurans.
KUALA LUMPUR, 10 Nov.  – Kerajaan akan mengaudit penggunaan bahasa Kebangsaan dalam kalangan sektor kewangan dan syarikat berkaitan kerajaan mulai tahun depan, demikian tegas Timbalan Perdana Menteri, YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Haji Mohd. Yassin dalam ucaptama Simposium Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Sektor Kewangan dan Insurans.
“Pengauditan ini perlu dilakukan ke atas tahap dan mutu penggunaan bahasa Melayu dalam semua urusan institusi kewangan dan syarikat berkaitan kerajaan. Penarafan ini akan menjadi kayu ukur kepada pencapaian institusi kewangan dari segi  penggunaan bahasa,” tegasnya lagi.
Simposium bertemakan ‘1Malaysia: Memartabatkan Bahasa Kebangsaan Tanggungjawab Bersama’ diadakan di Auditorium Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia itu adalah anjuran Kementerian Kewangan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Bank Negara Malaysia (BNM), Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), Islamic Banking and Finance Institute Malaysia (IBFIM).  Simposium tersebut  dihadiri hampir  300 peserta termasuk tokoh-tokoh terkemuka perbankan dan syarikat berkaitan kerajaan.

No comments:

Post a Comment