Wednesday 25 April 2012

Sekolah Berpusatkan Pelajar

Pada kebiasaannya, dalam organisasi sesebuah sekolah, tugas guru adalah mengajar dan pelajar pula belajar daripada gurunya.  Di peringkat sekolah lagi, pelajar telah diberi kesedaran supaya mempunyai nilai-nilai murni, kawalan disiplin yang baik, kesungguhan dalam menjalankan tugas, dapat merancang tugas dengan berkesan dan dapat mengelakkan pembaziran masa.  Guru pula bertindak dan berusaha untuk mempengaruhi generasi pelajar ke arah pembentukan sikap yang positif, berdisiplin dan bertanggungjawab.  Sikap positif daripada kedua-dua golongan ini akan dapat melahirkan manusia yang lebih produktif dan berkesan untuk pembangunan diri dan juga negara.
Tetapi persoalan atau masalah yang sering diperkatakan tentang sekolah ialah pendekatan dalam pendidikan lebih melihat kepada persekolahan yang melakukan untuk pelajar, pelajar di lihat tidak mampu melakukan pendidikan itu untuk diri mereka sendiri (Levin,1993). Levin dalam jurnalnya berjudul Student and Educational Productivity menyatakan pendidikan lebih dilihat sebagai unsur produktiviti.  Pelajar dipandang sebagai hasil proses pembelajaran di sekolah.  Pelajar yang produktif adalah hasil dan kesan daripada input dan output yang diperoleh di sekolah.  Input yang berkualiti akan melahirkan output yang berkesan.  Monk (1992) juga menegaskan bahawa produktiviti boleh meningkatkan keberkesanan pembelajaran.  Untuk mencapai keberkesanan tersebut, pembelajaran harus diberi perhatian terhadap pemikiran pelajar berbanding guru.  “Pembiayaan untuk pelaburan itu diadakan dengan hasrat supaya ia akan menghasilkan pulangan yang sebaik-baiknya dalam jangka masa panjang.  Pendidikan mempunyai kesan langsung ke atas ekonomi.  Dengan peningkatan tahap dan stok ilmu pengetahuan yang ada pada seorang individu akan menjadikannya seorang tenaga kerja yang produktif dan boleh memberi sumbangan terhadap tambahan nilai keluarga.  Seterusnya tambahan nilai keluaran ini akan meningkatkan pendapatan negara.  Oleh yang demikian konsep produktiviti dalam sektor pendidikan adalah dilihat dari segi kecekapan jentera pelaksanaan sistem pendidikan mengeluarkan tenaga kerja yang produktif sesuai dengan keperluan pembangunan sektor ekonomi lain dalam meningkatkan hasil keluaran negara”
Sehubungan dengan itu, guru dan pelajar mempunyai peranan masing-masing untuk meningkatkan tahap produktiviti mereka. Berdasarkan pandangan tokoh-tokoh pendidik berkenaan,  jelas menunjukkan bahawa pembelajaran yang berkesan ialah pembelajaran yang mampu membentuk diri seseorang individu atau pelajar itu untuk memberi makna yang berkesan terhadap proses pembelajarannya.  Mereka mampu menggunakan ilmu yang dipelajarinya untuk membentuk sesuatu yang berharga untuk diri mereka sendiri.  Pembelajaran yang bersifat mengikut apa sahaja yang diajar oleh guru tidak mampu untuk melahirkan insan pelajar yang berdaya maju dan produktif.  Tegasnya, pembelajaran atau pendidikan tidak boleh di anggap sebagai terdiri daripada satu aktiviti sahaja.  Ianya tidak boleh dilakukan dengan aktiviti sehala sahaja seperti menghafal, membaca, menulis, melihat, mendengar, melukis, membincang dan berfikir.  Pendidikan pelajar harus di lihat lebih jauh daripada itu.
Menurut Schofield (1972), pendidikan yang melakukan untuk diri pelajar adalah pendidikan mengikut nature, pembelajaran melalui pengalaman dan pembelajaran melalui penemuan.  Pelajar adalah lebih penting daripada guru atau mata pelajaran.  Begitulah sebaliknya.  Pendidikan yang melakukan untuk pelajar melihat mata pelajaran bersifat tunjuk ajar atau pengajaran formal, kerana tunjuk ajar formal bertujuan menggunakan guru dan mata pelajaran untuk membentuk sahsiah pelajar dan menyekat kebebasan pelajar mengembangkan sahsiahnya yang semulajadi.
Schofield juga menyatakan pelajar hanya boleh belajar apa yang dia boleh belajar, iaitu kebolehan dan kesediaannya untuk pembelajaran hendaklah diambilkira.  Isi pelajaran janganlah tertutup kerana lebih bermakna jika dalam proses pembelajaran pengalaman dan penglibatan pelajar dipertimbangkan.  Pendekatan bertumpukan kepada mata pelajaran dikatakan tidak mampu memotivasikan pelajar kerana minat serta keperluan dan kesediaan pelajar diabaikan.  Pelajar tidak dapat memahami idea orang dewasa yang disampaikan kepadanya terutama sekali idea yang abstrak, jauh daripada pengalaman pelajar yang terhad.  Kesudahannya, apa yang akan dicapai oleh pelajar ialah pembelajaran secara menghafal dan kebolehan mengulang, tanpa memahami apa yang dipelajari.
Pembelajaran yang mengikut kehendak pelajar akan menjadi bermakna kerana ia membolehkan pelajar tumbuh dan berkembang mengikut keadaan semulajadi pelajar itu.  Pertumbuhan dan perkembangan secara semula jadi ini pula diertikan sebagai kematangan.  Contohnya, pelajar boleh berpengetahuan tentang bunga mawar kerana dia boleh melihat, menghidu dan memegang bunga tersebut.  Tetapi pelajar tidak boleh ada pengetahuan tentang benua Afrika kecuali dia pergi ke tempat itu dan mengalami kehidupan di situ.  Pelajar juga didapati tidak akan ada minat dan bermotivasi jika dia diajar secara tunjuk ajar.  Contoh, pelajar dikehendaki membuat bangku, tanpa mengikut kemahiran dan kebolehan yang ada pada mereka.  Guru tidak sepatutnya menetapkan struktur bangku itu, sebaliknya memberi kebebasan kepada pelajar untuk membentuk struktur yang disukainya dengan memberi rasional-rasional tersendiri.
Pembelajaran bersifat mengikut kehendak pelajar ini lebih cenderung kepada anti-sekolah.  Pembelajaran cara ini menentang tunjuk ajar dan yang demikian menganggap tidak natural untuk pelajar pergi ke sekolah.  Tetapi sekolah dilihat sebagai institusi pendidikan yang utama.  Persoalannya, bolehkan sekolah dihapuskan tanpa menjejaskan perkembangan pendidikan para pelajar?  Seseorang guru itu boleh menunjuk ajar, boleh memberi maklumat-maklumat asas, asalkan di peringkat-peringkat tertentu guru itu memberi pelajar peluang membuat kesimpulan tentang peringkat yang berikutnya daripada apa yang telah diberitahukan kepadanya.  Kaedah cuba jaya juga baik kerana pelajar belajar dengan lebih berkesan melalui kesilapan yang dibuatnya.  Tetapi ada juga yang mengatkan bahawa kesilapan yang dibuat adalah satu langkah kepada terbentuknya kebiasaan yang buruk.  Cara belajar yang paling selamat adalah dengan tidak membuat apa-apa kesilapan.  Perlu diingatkan bahawa gagal menemui apa yang dipelajari lambat laun akan membawa kepada kehampaan.
Contohnya, bagi seorang pelajar yang mempunyai talent atau bakat dalam bermain piano atau organ tanpa mempelajari note muzik dan sebagainya.  Pelajar yang berbakat dan berpotensi ini mampu melahirkan sebuah lagu yang bermutu tanpa menggunakan atau mempelajari note muzik yang sepatutnya.  Ini berbeza dengan pelajar yang tidak mempunyai bakat semulajadi.  Mereka terpaksa melalui pelbagai peringkat latihan atau level tertentu sebelum boleh mencipta sebuah lagu yang baik.  Di sini boleh dikatakan pembelajaran atau pendidikan tetap boleh berlaku tanpa pengajaran.  Walaubagaimanapun,  biasanya proses pendidikan, khasnya pendidikan formal melibatkan bukan sahaja pembelajaran tetapi juga pengajaran, kerana ada banyak perkara yang pelajar mesti dibantu untuk mempelajarinya dan ada matlamat-matlamat pendidikan yang susah hendak dicapai dengan cepat, cekap dan berkesan tanpa pengajaran.
Seperti konsep pembelajaran, konsep pengajaran oleh guru agak rumit juga untuk diterangkan.  Di sini pelajar dikehendaki menguasai berbagai fakta, maklumat, sikap, kepercayaan, pengetahuan, kemahiran, prinsip dan sebagainya melalui banyak aktiviti.  Oleh yang demikian aktiviti pengajaran untuk mencapai matlamat pembelajaran pasti banyak juga.  Aktiviti-aktiviti berkenaan termasuklah membuat catatan di papan hitam, menjawab soalan, menyoal, mendera, memberi ganjaran, menyelia kerja amali, memeriksa tugasan yang diberi, menguji dan menilai, mengadakan bahan untuk pembacaan dan menyediakan peluang agar pelajar dapat menemui, menyelidik serta menanyakan sesuatu.
Daripada apa yang telah diperkatakan itu,  bolehlah dimaksudkan bahawa dalam pengajaran guru terdapat hanya satu niat atau tujuan.   Ini bermakna pengajaran diarahkan kepada satu matlamat, iaitu tidak lain dan tidak bukan daripada mencapai atau menghasilkan pembelajaran yang berfaedah melalui cara-cara yang terbaik sekali, yang sistematis dan dikawal atau dirancangkan.  Pendek kata pengajaran ialah aktiviti atau tindakan yang praktikal dilakukan secara sengaja dan disedari untuk membantu pembelajaran.  Berhubung dengan perkara di atas, pelajar dan guru mempunyai hubungan yang rapat.  Maksudnya, pengajaran tidak ada erti tanpa pembelajaran.  Sebaliknya, pembelajaran tidak semestinya ada kaitan dengan konsep pengajaran.  Pembelajaran, dalam bentuk pembelajaran-kendiri, boleh wujud tanpa pengajaran atau bantuan daripada orang lain.  Oleh yang demikian, lebih wajar atau logik jika pelajar mendapat pendidikan secara formal di sekolah supaya proses pembelajaran berlaku dengan tersusun dan berkesan.  Pengajar atau guru sekolah adalah seorang yang profesional, dan bertanggungjawab untuk mengajar pelajar.
Pembelajaran pelajar adalah sesuatu yang mesti dikuasai atau dipelajari.  Tidaklah boleh dikatakan seseorang itu mengajar sesuatu jika aktiviti yang dijalankannya tidak menunjukkan yang sesuatu itu dengan terang dan nyata atau secara eksplisit.  Misalnya, tidaklah boleh dikatakan bahawa ada pengajaran tentang senaman jika guru sukan berkenaan duduk di bawah pokok menghisap rokok sambil membaca majalah.  Tegasnya, jika guru tunjukkan secara eksplisit kepada pelajar apa yang hendak diajarnya, maka pembelajaran boleh berlaku dengan lebih mudah.  Di sini guru mestilah mempunyai pengetahuan tentang kandungan yang hendak diajar dan idea tertentu tentang bagaimana hendak mengajar.  Selain guru mengajar, sesuatu itu mesti dinyatakan atau ditunjukkan dengan terang.  Sesuatu aktiviti itu susah hendak di anggap sebagai pengajaran jika guru tidak menimbangkan atau mengambil kira keadaan pelajar.  Bolehkah pelajaran dalam tingkatan lima diterangkan kepada pelajar darjah satu?  Tentu tidak.  Pembelajaran tidak akan berlaku, dan oleh itu tiadalah pengajaran.  Menurut Wringe (1976) guru mesti menimbangkan tahap pemahaman atau apa yang difahami oleh pelajar dengan keupayaan dan kemampuan kognitif yang ada pada pelajar itu serta menimbangkan minat pelajar berkenaan.  Scheffler (1973) juga meminta guru menghormati integriti intelektual pelajar dan keupayaannya membuat pertimbangan sendiri.  Guru harus melengkapkan diri dengan dalam bidang psikologi dan sosiologi pendidikan, misalnya boleh menolong guru dalam hal ini.  Pengetahuan tentang teori-teori sahsiah, pembelajaran dan perancangan kurikulum amatlah berguna juga kepada guru.  Oleh itu segala matlamat, kandungan dan kaedah pengajaran mestilah rasional, bermoral dan bernilai.
Menurut Daley(1966)  kanak-kanak adalah sebahagian daripada alam kerohanian yang mutllak.  Oleh itu mereka mempunyai tujuan kerohanian yang perlu dipenuhi mengikut kebolehan dan keupayaan mereka sendiri.  Dalam perkara ini proses pembelajaran mestilah berusaha memupuk dengan lebih dekat lagi, kekariban  di antara pelajar dan unsur-unsur kerohanian tabii serta memberi penekanan kepada keharmonian di antara pelajar dengan alam sejagat.  Pelajar harus diberi kebebasan dalam membuat keputusan.  Idea pelajar di anggap sebagai suatu kemungkinan yang terdapat dalam diri pelajar yang perlu dibentuk dan bukan sebagai suatu prinsip di luar diri kanak-kanak.  Socrates (1979) juga menyatakan kandungan kurikulum sekolah harus meliputi perkara-perkara, idea-idea dan proses pemikiran rasional yang tahan diuji oleh masa dan kebudayaan.  Perkara ini merupakan asas kepada tamadun.
Sebagai contoh, bagi pelajar mata pelajaran Kemahiran Hidup mereka telah ditentukan oleh guru untuk menyiapkan projek mengikut spesifikasi yang diberikan. Semua pelajar dikehendaki menyiapkan mengikut standard atau skema yang telah diberikan.  Jika gagal mematuhi skema yang telah ditentukan, potongan markah akan diberikan kepada pelajar yang terlibat. Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku.  Pelajar seharusnya diberikan kebebasan dalam mereka cipta projek yang dikehendaki.  Bagi pelajar yang berjaya mencipta sesuatu yang bersifat kreatif seharusnya mendapat markah yang tertinggi.  Dengan kaedah ini akan berusaha mengasah dan memahirkan diri pelajar dalam membentuk sesuatu yang bernilai dan bermanfaat untuk diri mereka.  
Akhir sekali, guru dan pelajar mempunyai peranan yang penting dalam proses pembelajaran dan pengajaran di sekolah.  Mereka mempunyai hubungan yang rapat untuk menentukan matlamat dan tujuan sebenar pendidikan itu tercapai sepenuhnya.  Cuma yang menjadi masalah ialah sama ada pembelajaran itu diberikan kebebasan kepada pelajar atau guru yang menentukan apa yang harus dipelajari.  Sekolah yang produktif dianggap sebagai sekolah yang mampu menggunakan segala input-iput sekolah untuk melahirkan insan pelajar yang berkualiti dan produktif.  Produktiviti juga mampu menghasilkan sesuatu perkhidmatan guru yang bermutu tinggi bagi melahirkan pelajar yang produktif.  Mereka boleh bertindak dan berusaha untuk kemajuan diri sendiri dengan menggunakan daya kreatif dan inovatif yang ada. Pelajar boleh dilibatkan dalam projek atau tugasan yang diberikan oleh guru.  Di samping itu, guru dan pelajar bersama-sama mengenal pasti dan menentukan pengetahuan-pengetahuan yang di dapati berguna dalam menyelesaikan masalah-masalah tertentu.

No comments:

Post a Comment