Monday 23 April 2012

Etika seorang pendidik

Mendidik bukan sekadar mengajar atau memberitahu.

Hampir semua manusia mengetahui bahawa minum arak itu suatu perbuatan yang akan merosakkan diri /Islam mengkategori dan menghukumkan perbuatan atau pekerjaan itu sebagai haram, merokok merosakkan kesihatan, mencuri dan mengamal rasuah merosakkan diri dan masyarakat, berzina merosakkan keturunan dan berdosa besar, merompak adalah perbuatan yang keji dan berbahaya kepada diri sendiri dan masyarakat, mengamalkan kepercayaan karut atau khurafat boleh merosakkan aqidah atau boleh berubah menjadi syirik atau menyengutukan Allah, perbuatan menyengutukan Allah adalah kafir. Tegasnya semua perkara tersebut telah diajar dan diketahui .

Persoalannya:

Mengapakah semua perkara itu masih berlaku di kalangan mereka yang telah pun mengetahui akibatnya ? dan sukar serta liat pula hendak meninggalkannya, sedangkan mereka/kita telah mengetahui akibat buruknya. Kalaulah pendidikan itu sekadar mengajar dan memberitahu , kedua-dua proses tersebut telah pun dibuat dan dilaksanakan tetapi semua keburukan tersebut masih berlaku dan diamalkan. Ini bermakna proses pendidikan bukan sekadar itu sahaja. Proses pendidikan melibatkan banyak unsur pelengkapnya.

Proses pendidikan.

Proses ke arah merealisasikan pendidikan memerlukan banyak elemen atau unsur pembantunya, selain daripada mengajar dan menunjukkan contoh teladan serta membuat atau mengajarnya secara amali, kehidupan harian masyarakat juga banyak mempengaruhi pendidikan setempat, anak didik memerlukan kehidupan masyarakat yang unggul yang sifatnya menghampiri falsafah pendidikan yang disediakan dan juga yang sedang direalisasikan.

Persekitran yang baik dan unggul banyak membantu pendidikan, termasuk kebiasaan dan budaya baik yang bersifat global. Sebaliknya, sekiranya mereka berhadapan atau berkecimpung di dalam persekitaran yang buruk, maka proses pendidikan yang dijalankan tidak akan terhasil dengan baik dan pencapaiannya tidak akan mencapai ke tahap cemerlang, Persekitaran yang buruk akan mempengaruhi dan menguasai minda anak didik. Berlebih-lebih lagi anak remaja yang sedang mencari-cari identiti, mereka sangat memerlukan bantuan dan teladan yang baik dari masyarakat atau persekitaranya.

Merujuk kepada amalan dan adat karut yang diamalkan oleh orang Islam, biasanya perkara ini tertanam ke dalam jiwa mereka sejak kanak-kanak lagi, walaupun setelah dewasa mereka diberitahu bahawa perkara itu karut mereka masih merasai berat untuk meninggalkannya, seorang doktor yang menghisap rokok biasanya berlaku ketagihan itu sebelum mereka menjadi seorang doktor lagi, mereka itu sudah tentu kemudiannya mengetahui perkara itu tidak baik dan berbahaya pula. Seorang Islam yang mengetahui bahawa bersolat fardu itu wajib tetap tidak melaksanakannya, jika pengetahun itu tidak menyerap dan bersepadu di dalam jantung hatinya, penerapan ini semestinya berlaku sejak kanak-kanak di mana mereka melihat sendiri amalan yang dijalankan oleh mereka yang paling hampir dengan mereka serta ditambahkan pula dengan perintah berbuat demikian semasa kecilnya.

Kalau kita menghendaki masyarakat atau generasi akan datang menjadi baik dan proses pendidikan kita berjaya dilaksanakan, maka masyarakat kita kini wajib menyediakan persekitaran yang baik dan sesuai dengan Falsafah Pendidikan Negara yang telah disediakan, kalau gagal berbuat demikian falsafah itu akan hanya mampu menjadi kertas rujukan semata-mata dan tidak lebih dari peranan tersebut. Manakala anak didik di sekolah akhirnya akan mengikut jejak langkah masyarakat yang tempang itu seperti terjadinya kuih mengikut acuannya.

Sekian...wallahu aklam.

No comments:

Post a Comment