Monday 23 April 2012


Kuasa dan Politik

Sering kali kita mendengar di sana-sini orang memperkatakan tentang politik. Tidak kira pelbagai peringkat penutur dan pelbagai pandangan mengenai pengertiannya. Ahli politik memperkatakan tentang makna politik bagi mereka, semetara pihak yang lain pula mengujarkan tentang kuasa politik yang disalah guna oleh sesetengah pihak. Para guru sedang aktif dalam politik negara, sedangkan pelajarnya leka berpolitik dengan rakan di luar sekolah. Sang bapa sibuk berpolitik di luar rumah, sedangkan si ibu sedang asyik berpolitik dengan jiran tetangga. Lihatlah betapa besarnya pengaruh politik ini dalam kehidupan kita. Setiap orang memang tidak dapat lari daripadanya.

Walaubagaimanapun saya bukanlah hendak menghuraikan panjang lebar tentang politik negara. Apatah lagi untuk mencampuri bidang tersebut. Bukan kerana tidak berminat atau menyerahkan bulat-bulat kepada orang tertentu untuk menguruskannya, tetapi hanya belum sampai masanya saya terlibat dalam arena tersebut. Ini kerana masih banyak selok-belok politik yang belum saya ketahui. Bahkan politik di rumah dan di tempat kerja juga perlu saya uruskan. Justeru, saya hanya ingin berkongsi bidang politik ini dengan mereka yang seangkatan dengan saya, iaitu kuasa dan politik dalam pendidikan.

Dalam bidang pendidikan, khususnya sesebuah sekolah, kuasa adalah milik pentadbir dan guru-guru kanan dalam herarki pentadbiran. Pihak pengurusan sekolah mempunyai sumber kuasa dalam hal tertentu yang menyebabkan arahan dan dominasi politik mereka dipatuhi. Dominasi politik dalam konteks ini adalah berupa kuasa yang mempengaruhi seseorang dalam membuat keputusan, menentukan budaya pengurusan dan komunikasi dalam organisasi. Dalam hal ini, kuasa dan politik dalam pendidikan amat penting dalam membuat keputusan, aktiviti, sistem dan iklim sekolah berkenaan. Kuasa dan politik dapat mendominasikan sistem dan peraturan sesebuah sekolah yang akan memangkin kelancaran pengurusan sesebuah sekolah. Bahkan ia juga menjadi penentu aras dalam menentukan sama ada berkesan atau tidak pengurusan di sekolah berkenaan. Secara analoginya, sebuah sekolah yang berkesan adalah disebabkan amalan kuasa dan politik yang positif dan sebaliknya sekolah yang kurang atau tidak berkesan pula adalah disebabkan amalan kuasa dan politik yang negatif oleh pentadbirnya.

Kuasa dan politik dalam pentadbiran sekolah adalah merangkumi kuasa dan autoriti pihak pengurusan yang mencakupi sumber kuasa mereka yang menyebabkan mereka dapat mempengaruhi kakitangan bawahan untuk berkerja ke arah pencapaian matlamat organisasi. Begitu juga amalan politik yang positif sudah tentu akan menjadi pemangkin kepada kejayaan amalan kuasa tersebut dan seterusnya membawa kepada pencapaian matlamat dan wawasan sekolah yang telah ditetapkan. Justeru, kuasa dan politik sangat penting dalam mempengaruhi kejayaan sesebuah sekolah. Namun demikian, kuasa dan politik adalah bergantung dengan penerimaan kakitangan sekolah. Ini telah dijelaskan oleh Griffith (1984) dalam Zaidatol Akmaliah Lope Phie (2000) yang menganggap kuasa dan politik sangat penting dalam mempengaruhi hubungan manusia. Kejayaan dalam hubungan tersebut bergantung kepada hubungan dua hala di antara pentadbir dan orang di bawah pentadbiran mereka. Hubungan yang baik akan dapat membantu kelancaran pentadbiran manakala hubungan yang menolak atau negatif sudah pasti akan menggagalkan segala usaha yang telah dirancang.

No comments:

Post a Comment